Meneroka kaedah baru – 19/06/2014

MASALAH pembelajaran lazimnya merujuk kepada kesukaran seorang kanak-kanak itu dalam aktiviti pembelajaran yang melibatkan kebolehan bertutur, mendengar, membaca, menulis, mengeja, memberi penjelasan atau penerangan, mengatur maklumat dan mengira.

Ia sebenarnya berpunca daripada masalah neurologi atau saraf yang melibatkan pemprosesan maklumat di otak.

Begitu pun masih wujud kekeliruan yang menyamakan anak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dengan kanak-kanak istimewa yang masalah terencat akal seperti sindrom Down, autisme dan sebagainya.

Masalah pembelajaran biasanya bersifat kekal bagaimanapun dengan adanya kesedaran awal nasib kanak-kanak ini boleh berubah.

Oleh yang demikian, ibu bapa memainkan peranan penting kerana selain rapat dan mengenali anak masing-masing, mereka juga merupakan individu yang terawal menyedari akan kelemahan anak-anak mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah dalam pembelajaran, mereka pastinya akan bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian dalam usaha memberikan yang terbaik buat anak masing-masing.

Selain mencari sekolah khas yang menawarkan pembelajaran khusus kepada kanak-kanak ini, ibu bapa juga berusaha mencari pelbagai alternatif untuk memberikan pendidikan agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Dalam usaha menangani masalah tersebut, ibu bapa juga boleh mendapatkan pelbagai tip serta ilmu asas masalah pembelajaran melalui pelbagai medium termasuk buku.

Terkini buku Small Steps, Big Difference: A Toolkit for Parents of Children Who Fall through the Cracks hasil nukilan Hilary Craig antara naskhah yang boleh membantu ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah dalam pembelajaran.

Buku setebal 151 muka surat itu dihasilkan setelah Craig yang juga pengasas pusat pembelajaran Hils Learning Centre, berdepan dengan masalah yang sama.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan berpendapat, bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran memerlukan sokongan tambahan dalam usaha menangani masalah tersebut.

Setiap kanak-kanak berbeza dan mempunyai sifat unik mereka tersendiri.

Buku ini merupakan sumber rujukan yang berharga untuk ibu bapa dan ia dapat membantu mereka mencari jalan membimbing anak-anak mempelajari cara untuk mencapai potensi penuh mereka.

Tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk berkongsi strategi dengan ibu bapa membantu anak masing-masing meningkatkan peluang mencapai kejayaan dalam pembelajaran selain mewujudkan kesedaran bahawa masalah pembelajaran boleh ditangani menerusi gaya pembelajaran yang berbeza,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Craig yang juga merupakan seorang bekas guru, turut menyedari bahawa terdapat ramai murid yang ketinggalan dalam pembelajaran mereka.

Ini dibuktikan dengan statistik daripada Jabatan Pendidikan Khas Malaysia yang melaporkan pada tahun 2002 sejumlah 14,535 kanak-kanak mempunyai masalah pembelajaran di 700 buah sekolah di seluruh negara.

Sehingga hari ini semakin ramai yang mengalami masalah pembelajaran antaranya seperti disleksia, disgrafia, diskalkulia, autisme, dan juga gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD).

Jelas Craig lagi, walaupun masalah pembelajaran ini boleh menjejaskan keupayaan seseorang individu dari segi pendengaran, pertuturan, membaca, menulis, mengeja, pertimbangan, dan matematik, ia sebenarnya masih boleh diimbangi dan diatasi secara berkesan jika dikenal pasti pada peringkat awal.

Buku tersebut yang merupakan buah tangan sulung Craig, berkisar mengenai kepercayaan asas bahawa semua kanak-kanak boleh mencapai kemajuan menerusi kaedah pembelajaran berbeza yang bertumpukan kepada empat kemahiran asas iaitu mendengar, perhatian, daya ingatan, dan kemahiran sosial.

Antara pendekatan praktikal yang terdapat di dalam buku ini termasuklah pembelajaran visual seperti menggunakan pelekat, warna, peta minda, dan gambar.

Pembelajaran auditori seperti pembelajaran menerusi objek dan lagu, permainan memori seperti catur, dam, dan brain box, serta memasak merupakan cara di luar kelaziman untuk merangsang daya ingatan kanak-kanak,” katanya lagi.

Berharga RM60 senaskah, buku Small Steps, Big Difference: A Toolkit for Parents of Children Who Fall through the Cracks boleh dibeli melalui laman sesawang www.happiness-is-learning-success.com/product/small-steps-big-differences ataupun portal e-dagang.

Apa yang diharapkan, melalui buku tersebut, ibu bapa dapat membantu anak masing-masing dengan kemahiran yang boleh digunakan untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. – mariatul qatiah zakaria